5 Perubahan Ciri Kereta Lama Dan Baru


  - 24 Feb 17
  62 : 1

Kemajuan dalam teknologi pembuatan kenderaan membuatkan para pengeluar berlumba antara satu sama lain untuk memperkenalkan ciri-ciri baru pada kenderaan keluaran mereka.

Walaupun pada hakikatnya sesuatu teknologi itu sudah lebih dari mencukupi, mereka akan sentiasa mencari idea-idea baharu yang lebih kreatif untuk memikat pembeli. Antara kesan proses ialah kita menghadapi pelbagai masalah baru sedangkan sebelum ini ia bukannya merupakan satu masalah pun.

Semakin kereta bertambah dan berkembang, kita dapat lihat yang sesetengah bahagian tidak mampu digantikan dengan walaupun dengan teknologi terkini. Kalau ada pun, ia memang tidak sesuai dan lari daripada konsep asal.

Berikut adalah beberapa aspek kemajuan automobil yang membuatkan kita kembali mengimbas ke belakang sewaktu kereta-kereta adalah lebih ringkas tanpa bantuan pelbagai alat elektronik canggih.

 

1. TIANG-A YANG KECIL (PILLAR A)

Jika anda orang lama macam kami mesti anda perasan yang tiang-A pada kereta sekarang adalah jauh lebih besar berbanding kereta-kereta terdahulu. Ini adalah kesan daripada piawaian keselamatan yang menjadi semakin ketat tahun demi tahun.

Ia memang diakui sebagai sesuatu yang positif tetapi pada masa yang sama ia juga mengganggu penglihatan (blind spot) yang juga tidak kurang pentingnya jika dinilai dari aspek keselamatan. Bukan itu sahaja, bahagian sisi tingkap kenderaan turut ditinggikan atas nama keselamatan.

Susah betul nak ambil angin stail dulu-dulu dengan meletakkan siku di atas birai tingkap kereta. standard baru keselamatan ini sekaligus telah membuatkan bukan hanya tiang-A tetapi tiang-B dan juga C turut bertambah ‘gemuk’.

Jika anda tidak percaya, cuba pandu kereta-kereta lama seperti Datsun 120Y ataupun Volkwagen Beetle dan anda akan dapati adalah cukup mudah untuk anda mengawasi kenderaan dari kiri dan kanan anda kerana saiz tiang-A yang cukup kecil tidak menghalang pemanduan anda. Kini saiznya yang hampir sebesar batang pinang memang membuatkan anda perlu lebih berhati-hati sebelum keluar simpang. Ia lebih selamat tetapi pada masa yang sama mengundang bahaya. Ironik bukan?

2. KUNCI VS BUTANG START/STOP

Satu ketika dulu kita cuma perlu masuk ke dalam kereta, tutup pintu, pusing kunci penghidup dan pandu.

Kini dengan kereta-kereta moden, permulaan pemanduan bagaikan persediaan untuk menerbangkan sebuah pesawat ringan. Apatah lagi banyak juga kereta yang memerlukan anda memilih mod pemanduan yang dimahukan, amaran penggunaan pemain audio sambil memandu, tetapan suhu penyaman udara (kecuali model yang mempunyai mod auto) dan mencari capaian Bluetooth untuk telefon pintar anda.

Itu baharu contoh, banyak lagi sebenarnya apatah lagi dengan kecanggihan teknologi kenderaan pada masa kini.

Satu lagi ciri yang kami agak terasa kehilangan ialah penggunaan kunci penghidup. Memang ia cukup penting atas nama keselamatan khususnya buat pemanduan wanita yang mahu cepat-cepat memasuki kereta selepas seharian bekerja ataupun membeli-belah tetapi rasanya unit kawalan jauh sudah memadai untuk memudahkan anda membuka pintu kereta dari jauh.

Malah berapa sangatlah tenaga yang diperlukan untuk memusingkan kunci penghidup untuk memulakan perjalanan? Lagi satu kalau kunci Volkswagen ayah saya rosak atau hilang dahulu, kos untuk membuat kunci gantian cuma RM2. Berapa agaknya kos nak repair kunci start-stop Honda Jazz kalau rosak. Itu belum masuk kunci Mercedes sekarang pula mesti ditempah dari Stuttgart agaknya.

3. GANGGUAN DARI ‘BIBIK’ ELEKTRONIK

Apa pula bibik eletronik ni? Ia merupakan sistem kawalan cengkaman ataupun Traction Control yang memang diprogramkan agar dalam keadaan aktif setiap kali kereta anda bergerak. Ia sedikit sebanyak menghalang keseronokan pemanduan (Contohnya sekali sekala nak buat aksi bodoh dalam keadaaan terkawal, drift ala kampung).

Logiknya mudah sahaja, kurangnya kemampuan pemandu untuk membuat aksi bodoh akan mengurangkan jumlah kemalangan. Walaupun fungsi ini memang boleh dinyahaktif tetapi ia memakan masa beberapa saat dan sesetengah model tidak boleh dinyahaktif seratus peratus untuk keselamatan. Payah juga bila ada bibik yang tak pernah tidur ni.

4. KEMASAN KROM

Kemasan krom yang memberikan kilauan tambahan pada sesebuah kereta kini sudah semakin dilupakan (Bukan aksesori krom plastik kedai aksesori okey). Ia bukan hanya disebabkan oleh trend yang semakin berubah tetapi juga kerana faktor penjagaan alam sekitar yang dikatakan tercemar dengan penggunaan bahan-bahan kimia sewaktu proses saduran dilakukan.

Walaupun terdapat pelbagai cara untuk menyerlahkan kilauan sesebuah permukaan baik dari sudut luaran mahupun dalaman kereta namun tidak ada satupun yang memberikan efek yang sama dengan kemasan krom yang sebenar.

Lihat sahaja perbezaan yang ada pada sebuah Mercedes-Benz klasik dan yang terkini, mungkin catnya lebih bagus tetapi ada sesuatu yang telah hilang yang menjadikannya lebih elegan.

5. STERENG BERKUASA TANGAN

Suatu ketika dahulu, boleh dikatakan hampir kesemua kereta menggunakan stereng manual tanpa bantuan kuasa ataupun terkini dengan teknologi elektrik. Kebaikan stereng manual ialah ia membolehkan anda berkomunikasi dengan kereta anda.

Bukan bermaksud perlu bercakap dengan kereta tetapi stereng anda membolehkan kita merasai keadaan kenderaan dan permukaan jalan. Stereng dengan bantuan kuasa pula menghilangkan deria rasa dengan bantuan kuasa bagi mengurangkan penggunaan tenaga sewaktu memutar stereng.

Anda masih boleh merasa keadaan permukaan jalan termasuk keadaan tayar tetapi tidak sebaik kenderaan dengan stereng manual.

Namun begitu ia mungkin sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana kereta-kereta moden juga sudah semakin besar sama seperti kita yang semakin gemuk kerana melantak makanan segera setiap hari.

Namun sebenarnya masih ada kereta moden dengan stereng manual untuk peminat yang mahukan sensasi pemanduan yang sebenar seperti Alfa Romeo 4C. Satu sajalah masalahnya. Ia terlalu mahal.

Mungkin ada beberapa ciri lain yang kami terlepas pandang. Jangan segan atau malu untuk memberikan komen dan cadangan anda.