[Video] Pembakaran Enjin Dalam Gerak Perlahan 4,000fps!

  - 10 Feb 17
  281 : 1


Loading...

KEBANYAKAN kereta hari ini menggunakan jenis enjin spesifik: enjin piston empat lejang. Enjin jenis ini boleh dikatakan agak rumit kerana dibina menggunakan binaan logam yang kuat dan sukar bagi kita untuk melihat apa berlaku di dalamnya. Pasukan Warped Perception mengambil inisiatif bijak apabila membina sebuah enjin dengan kepala silinder transparen menggunakan kaca boleh tembus lihat.

Dalam video di bawah, pasukan Warped Perception melakukan proses pembakaran dalaman di dalam enjin piston dan pada masa sama merakamkan detik tersebut dalam gerakan perlahan hingga 4,000 frame per saat (fps). Keputusannya, kita dapat melihat dengan jelas setiap proses kerja yang berlaku dalam kitaran pembakaran sesebuah enjin piston.

Kelihatan empat bahagian boleh lihat dalam enjin itu. Di kiri ialah piston bergerak ke atas dan ke bawah. Di kanan ialah injap ambilan dan ekzos (rekabentuk enjin kepala flat, injap-dalam-blok). Di kanan bawah pula ialah visual palam pencucuh sedang memercikkan api untuk menyalakan bahan bakar.

EMPAT PROSES KITARAN PENUH

Video dipaparkan itu ialah enjin empat lejang yang membabitkan empat peringkat dalam kitaran penuh. Peringkat 1 ialah injap ambilan terbuka bagi membenarkan udara dan bahan api memasuki kebuk, manakala piston bergerak ke bawah. Peringkat 2, piston bergerak ke atas dan memampatkan bahan api. Peringkat 3, bahan api akan dicucuhkan dan tekanan daripada pencucuhan itu mendesak piston ke bawah. Peringkat 4 atau terakhir ialah piston bergerak semula ke atas, mendesak ekzos keluar menerusi injap ekzos yang baru terbuka.

BACA >>> Fakta Ringkas dan Padat Mengenai Enjin Pembakaran Dalaman Yang Perlu Anda Tahu

Inilah cara bagaimana sesebuah enjin piston bekerja. Namun, eksperimen dilakukan tim Warped Perception turut membabitkan penggunaan bahan api selain petrol, seperti isopropil alkohol (isopropyl alcohol) dan asetilena (acetylene). Nampaknya, enjin digunakan tidaklah cerewet sangat, tetapi apa yang pasti ialah ia reliabel dalam tempoh masa tertentu sahaja. Jadi, jangan sesekali cuba melakukannya untuk enjin kereta sendiri jika tidak mahu menangis di kemudian hari.

Loading...