Tips Berjimat Semasa Menganggur


  - 25 Jan 17
  129 : 1
Loading...

‘Aktiviti Menganggur” pastinya menjanjikan perasaan yang membosankan. Sekadar terbaring di rumah sambil menonton televisyen ditemani perasaan tertunggu-tunggu akan tawaran pekerjaan lazimnya mengundang ngomelan daripada ibu di rumah.

Perasaan kian terguris apabila melihat foto-foto yang dimuat turun oleh rakan-rakan yang sudah bekerja dan mampu melancong seantero dunia!

Jangan risau! Anda juga mampu berjimat sementara menunggu tawaran kerja yang diidamkan. Ikuti tips ringkas mengenai langkah-langkah penjimatan buat si pemburu pekerjaan.

#1 – Hentikan Pengeluaran Wang

Lupakan sebentar mengenai baju baru, kasut baru, gajet baru dan sebagainya semasa tiada pekerjaan. Kehidupan semasa ketiadaan pekerjaan bukanlah masa yang sesuai untuk anda berbelanja lebih.

Hindari juga aktiviti lazim yang mampu menghabiskan simpanan anda seperti merokok, bersiar-siar dan berbelanja di restoran mewah.

#2 – Lagi Sedap Ibu Masak

Pastinya menikmati masakan ibu di rumah ialah detik yang sangat menggembirakan. Sekiranya menetap secara bujang, salah satu cara mudah untuk berjimat adalah dengan masak dan makan di rumah.

Berbanding makan di restoran luar dan mengeluarkan perbelanjaan lebih, anda juga boleh memasak sendiri makanan yang disukai. Masak mengikut citarasa sendiri lagi puas hati!

#3 – Berjimat Semasa Membeli Keperluan

Diakui juga keperluan lebih penting mengatasi kehendak. Namun begitu, barang keperluan tersebut juga haruslah berpada-pada dari segi pemilihan harganya.

Semasa berbelanja barang keperluan, anda digalakkan berjimat dengan membeli barang dalam jumlah yang banyak atau secara pukal. Anda juga boleh memanfaatkan kupon yang diperoleh untuk mendapatkan potongan harga.

#4 – Bekerja Secara Sambilan

Anda boleh menambah angka kewangan anda dengan melakukan kerja sambilan. Di luar sana, banyak pekerjaan yang mampu dilakukan tanpa harus terikat dengan kontrak dan kekangan masa lapang anda.

Anda juga boleh memanfaatkan kemahiran berkomunikasi dan pengurusan yang dimiliki di tempat kerja sambilan tersebut untuk menempuhi alam pekerjaan sebenar dalambidang-bidang tertentu.

#5 – Buat Perancangan Perbelanjaan

Sesuatu kejayaan akan diperoleh sekiranya memiliki perancangan yang mantap. Anda juga mampu berjaya dalam perbelanjaan jika merancang dengan teliti.

Anda juga akan lebih mudah mengawal kewangan yang ada apabila mengamalkan strategi ini. Hindarkan diri untuk membelanjakan wang anda pada sesuatu yang bukan keperluan. Namun, perancangan itu haruslah serealistik mungkin.

Loading...