Raja Saudi Taja Haji 1,000 Waris Palestin Dibunuh Israel


  - 12 Aug 17
  62 : 1
Loading...

RIYADH – Persiapan kini sedang giat dijalankan bagi menyambut ketibaan 1,000 saudara-mara kepada warga Palestin yang mati dibunuh oleh tentera rejim Israel, bagi menunaikan ibadah haji.

Kumpulan tersebut juga akan disambut sebagai tetamu istimewa Raja Arab Saudi sendiri, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, menurut laporan eksklusif portal berita berbahasa Inggeris tempatan, Arab News di sini semalam.

Abdullah Al-Madalj, setiausaha agung kepada baginda dan merupakan Setiausaha Agung bagi urusan haji dan umrah, memaklumkan tajaan khas Raja Arab Saudi itu termasuk penginapan, pengangkutan dan makanan.

Program tersebut, yang sudah berlangsung sejak sembilan tahun lalu, sebenarnya dilakukan untuk menghargai sikap keperwiraan rakyat Palestin yang terkorban semasa menegakkan hak mereka mempertahankan tanah air.

Abdullah turut berkata bahawa menjadi tuan rumah kepada keluarga mereka diharap dapat meringankan perasaan keperitan waris terbabit selepas kehilangan orang yang tersayang akibat dibunuh zalim oleh tentera Zionis Yahudi.

“Usaha murni ini juga sebagai lanjutan sokongan berterusan oleh pihak kerajaan Arab Saudi kepada perjuangan suci warga Palestin yang mati syahid,” kata beliau lagi kepada Arab News.

Loading...