Lepas Janna, Kini Usop Mentor pula Jadi Mangsa?


  - 5 Dec 17
  119 : 1
Loading...

PADA Khamis lalu, kita dihebohkan mengenai akaun Instagram milik pelakon, Janna Nick yang memiliki 3.1 juta pengikut telah berjaya digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab.

 

Susulan itu, penyanyi, Usop Mentor dilihat turut sama membantu Janna mendapatkan kembali akaun berkenaan dengan meninggalkan komen menerusi ruangan komen pelakon tersebut pada Sabtu lepas.

Bagaimanapun, niat untuk menolong itu bertukar menjadi mimpi ngeri apabila akaun miliknya pula menjadi mangsa penggodam lain.

Menurut Usop, akaun Instagram yang memiliki 500,000 pengikut itu diceroboh penggodam selepas penyanyi berkenaan meminta agar pihak tidak bertanggungjawab itu memulangkan semula akaun milik Janna.

“Saya mengetahui laman Instagram saya digodam apabila dimaklumkanoleh seorang teman pada pagi Sabtu lalu.

“Sebelum kejadian, saya ada meninggalkan komen di Instagram Janna meminta penggodam memulangkan semula akaun pelakon tersebut.

“Tak sangka pula saya menjadi mangsa seterusnya,” kata naib juara Mentor Milenia 2017 ini dipetik portal mStar Online.

Jelasnya lagi, dia mengakui berasa sedih dengan perkara itu kerana akaun tersebut bukan sahaja tidak dapat diakses malah ia turut hilang daripada carian aplikasi berkenaan.

Usop berkata lagi, ekoran perkara itu dia tidak dapat melelapkan mata dek kerana memikirkan nasib akaun tersebut.

“Sejujurnya, saya bersedih dengan apa yang berlaku dan tidak menyangka akan menjadi mangsa dalam isu ini.

“Sampaikan nak lelapkan mata pun saya tak mampu kerana terfikirkan tentang laman tersebut.

“Besar harapan saya Instagram itu pulih seperti sedia kala dan dikembalikan semula kepada saya,” kata penyanyi berusia 20 tahun ini.

Dalam pada itu, anak jati kelahiran Kedah ini memberitahu buat masa ini dia hanya menggunakan akaun Instagram kelab peminat iaitu Usop Kelia Fans Official sebagai medium memudahkan dia berhubung dengan peminat.

“Buat masa ini saya tidak wujudkan sebarang akaun baru dan hanya menggunakan akaun kelab peminat tersebut.

“Sebarang makluman mengenai perkembangan terkini saya akan dimuat naik di akaun tersebut dan harapnya tiada yang tertipu dengan akaun palsu lain,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, pemilik nama sebenar Saiful Naim Muhd Noor kini sedang sibuk dengan proses menyiapkan single terbarunya yang bakal dilancarkan awal tahun hadapan.

Loading...