Lelaki Ini Rompak Bank Di Damansara Heights Sebanyak RM600,000 Tanpa Dikesan Oleh Sesiapa


  - 19 Sep 17
  607 : 1
Loading...

Kalau ada meminati filem bercorak jenayah seperti Ocean Eleven atau seangkatan dengannya mungkin kes ini menarik minat anda. Seorang lelaki telah melarikan sejumlah wang dengan amaun yang sangat besar dari sebuah bank tempatan di Damansara Heights.

Dalam laporan The Sundaily, lelaki tidak memerlukan senjata untuk merompak bank tersebut tetapi hanya berbekalkan sehelai kertas, baju T, berseluar pendek dan berselipar. Lelaki tersebut berjaya melarikan RM600,000 tanpa disedari oleh sesiapa.

Mungkin ramai tertanya bagaimana lelaki ini melakukannya?

Lelaki tersebut telah pergi ke bank tersebut pada waktu siang dan menyamar sebagai penyelenggara pemadam api. Dia dengan yakin memperkenalkan diri sebagai juruteknik syarikat pemadam api kepada kakitangan bank.

Kira-kira jam 12.30 tengahari dia cuba untuk meminta kelulusan memasuki kawasan larangan namun gagal setelah diminta menunjukkan kad pengesahan. Lelaki tersebut hanya menunjukkan satu dokumen seperti pelan lantai bangunan.

Staf yang curiga dengan lelaki tersebut memberitahu pengurus bank yang telah menolak permintaan lelaki tersebut.

Lelaki itu tidak berputus asa dan berlegar di sekitar kawasan bank sebelum secara senyap-senyap mendekati safe room ketika pekerja bank tersebut tengah sibuk melayan pelanggan.

Rakaman CCTV berjaya merakam gerak geri lelaki itu yang berpura-pura memeriksa pemadam api untuk mengelakkan dirinya dicurigai sebelum mendekati bilik tersebut.

Dia dengan sabar menunggu ketua juruwang untuk masuk ke safe room dan meletakkan magnet di selak kunci pintu keselamatan untuk menghalang pintu tersebut dari terkunci.

Safe room tersebut hanya boleh di akses oleh pengurus bank serta ketua juruwang yang masing-masing mempunyai kod peribadi. Lelaki itu dengan selamba menunggu juruwang tersebut keluar dan memasuki bilik tersebut.

Lelaki tersebut telah menyumbat sebanyak mungkin wang tunai ke dalam beg sandang yang dibawanya dan dengan tenang meninggalkan bank tersebut bersama-sama wang tunai RM600,000.

Tiada seorang pun pekerja bank tersebut menyedari tindakan berani lelaki tersebut sehinggalah pengurus bank yang pulang dari makan bertanyakan kepada pekerja mengenai lelaki tersebut.

Para pekerja bank tersebut memberitahu lelaki tersebut telah meninggalkan premis tersebut. Berasa curiga, pengurus tersebut memeriksa safe room dan mendapati sebanyak RM600,000 telah hilang dari bilik tersebut.

Pengurus bank tersebut segera membuat laporan polis. Polis telah menahan pengurus bank tersebut untuk membantu siasatan dan dibebaskan selepas dua hari kerana tidak bersalah.

Malah ketua juruwang tersebut juga turut ditahan polis dan dibebaskan selepas diambil keterangan. Pengurus dan ketua juruwang tersebut telah digantung kerja oleh bank tersebut kerana insiden itu.

Polis telah mendedahkan beberapa gambar lelaki tersebut melalui rakaman CCTV yang berjaya di ambil dan meminta sesiapa yang mempunyai maklumat tentang suspek untuk menghubungi balai polis berdekatan.

Loading...