Harley Davidson – Masa Depan Yang Semakin Sukar?


  - 18 Feb 17
  2,238 : 1
Loading...

Harley Davidson, pengeluar motosikal berpengaruh dari Amerika Syarikat (AS) nampaknya berada dalam situasi sukar. Sudah banyak perubahan dilakukan sejak beberapa tahun lalu, namun bukan semua membuahkan hasil.

Memetik laporan Huffingtonpost, berdepan dengan persaingan sengit daripada pengeluar motosikal Eropah dan Jepun, selain jenama Polaris yang kian popular, Harley-Davidson mengakui bahawa sasaran penghantaran 269,000 unit motosikal pada tahun ini sukar dicapai.

 

Jenama itu kehilangan penguasaan pasaran kepada pesaing asing seperti Yamaha, Kawasaki dan Honda. Memburukkan lagi keadaan, syarikat juga berdepan isu-isu perundangan.

Sebagai contoh pada Oktober lalu, Harley Davidson perlu membayar penalti sebanyak AS$12 juta (RM50.5 juta) kerana didakwa menjual 340,000 unit motosikal yang mencemarkan udara.

Lagi satu cabaran, rakyat AS dilihat lebih cenderung membeli kereta berbanding motosikal. Perubahan itu menunjukkan pengguna memiliki lebih kesedaran mengenai aspek kesihatan, keselesaan dan status mereka.

 

Pada suku ketiga tahun ini, keuntungan  Harley-Davidson merosot sebanyak 19 peratus atau AS$114.1 juta (RM480 juta) berbanding AS$140.3 (RM591 juta) untuk tempoh sama tahun lalu. Perolehan penuh pula berada pada AS$1.27 bilion (RM5.35 bilion) berbanding tahun lalu, AS$1.32 (RM5.55 bilion).

Pada tahun 2014, perkongsian pasaran Harley-Davidson di AS naik kepada 55.5 peratus. Setahun kemudian, ia jatuh kepada 51.9 peratus. Sejak itu, perkongsian pasarannya hanya naik satu peratus.

“Sejak beberapa tahun lalu, penghantaran motosikal Harley-Davison ke Eropah semakin menurun. Jenama itu juga merancang untuk menyusun semula produksinya pada Q4 2015. Malah, jumlah pekerja turut dikurangkan yang melibatkan perbelanjaan sehingga AS$25 juta (RM105 juta),” kata David Collins dari A1AutoTransport Inc.

Jika statistik ini berterusan, Ducati dilihat mampu memotong Harley-Davison. Ini kerana jualan Ducati di AS telah meningkat sebanyak 10 peratus pada tahun 2015. Selain Ducati, Honda juga menjadi saingan utama kepada Harley-Davison. Diikuti oleh Yamaha, Kawasaki dan Suzuki.

Jenama Harley Davidson terkenal dengan jentera yang memiliki gayaan unik dan elegan. Sedangkan generasi muda hari ini mahukan jentera yang lebih laju, sporty, selesa dan mampu milik. Sesuatu yang agak sukar untuk dipenuhi oleh Harley-Davison.

Menyedari situasi tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Harley-Davidson, Matt Levatich mahu memastikan produknya lebih berdaya saing. Justeru, pelaburan telah dibuat ke atas enjin-enjin baru, memberi penekanan terhadap model-model tertentu.

Penambah baikan model tidak hanya ditetapkan oleh pasaran untuk golongan lebih berusia. Sebaliknya, motosikal yang mampu menarik perhatian penunggang muda, wanita dan minoriti akan diberi keutamaan.

Harley-Davidson sedar, jika mereka tidak berubah sekarang dan tidak memenuhi permintaan, tidak mustahil jenama itu akan berkubur satu masa nanti. Pastinya, ramai yang tidak mahu melihat ia berlaku.

 

Loading...