‘Boleh tak abang lepaskan saya?’ – Isteri tawar hati dengan suami


  - 28 Aug 17
  1,644 : 1
Loading...

 

Tidak salah anak lelaki masih mahu menabur bakti pada orang tua selepas berkahwin, namun janganlah mengabaikan tanggungjawab diri pada isteri dan anak. Suami perlu diingatkan, jangan dahagakan pujian semata-mata, namun dalam diam isteri memendam rasa. Jangan sampai isteri tawar hati, kelak binasa rumah tangga.

Saya seorang suami yang telah berkahwin dengan isteri yang sebelum ini berstatus janda anak satu. Perkenalan kami selama dua tahun di mana ketika saya berjumpa dengan isteri, dia ditinggalkan oleh bekas suaminya tanpa kasih sayang dan perhatian. Mungkin di atas dasar simpati terhadap dirinya, saya menikahinya dan berjanji akan menjaga dia dan anaknya itu.

Sepanjang tempoh perkahwinan kami yang hampir dua tahun, isteri sangat memahami keadaan kewangan saya, memandangkan dia pun bekerja untuk membantu keluarga. Kehidupan kami seperti biasa, sehinggalah pada satu hari, adik perempuan syaa mesej di WhatsApp meminta sejumlah duit untuk membeli alat solek.

Kebetulan pada masa itu saya baru menerima gaji. Jadi, saya pulang ke rumah mak sekejap dan beri adik perempuan sedikit duit. Mak juga mahu sejumlah duit untuk membeli barang keperluan dirinya. Jadi, apa salahnya saya sebagai seorang anak beri mak saya duit.

Sejak daripada saat itulah, setiap bulan saya habiskan hampir 80-90% gaji saya kepada mak dan adik perempuan yang tidak bekerja untuk membeli barang keperluan dapur, alat solek dan sebagainya untuk mereka sehingga saya sendiri kering-kontang. Isterilah yang banyak menghulurkan duit ketika saya sesak.

Isteri pernah bertanya, ke mana duit gaji saya? Tetapi saya katakan bahawa saya beri pada mak dan adik. Tiga bulan pertama dia bising juga sebab sepanjang tempoh itu saya langsung tidak beri dia duit barang dapur, apatah lagi nafkah untuk diri dia. Masuk bulan keempat, isteri dah tak bising, malah tidak bertanya ke mana perginya duit gaji saya.

Perkara ini berlanjutan selama setahun. Tiba saja 25 haribulan, mak dan adik akan menghubungi saya untuk mengajak saya keluar membeli barang-barang keperluan mereka. Saya langsung tak tanya isteri ada duit ataupun tidak.

Mungkin tuhan nak menyedarkan saya. Pada satu hari ketika saya baru saja pulang dari bermain futsal, saya tengok isteri sudah tidur, begitu juga dengan anak. Mungkin isteri saya keletihan melayan anak yang lasak bermain sehingga tidak sempat mengemas barang-barang mainan yang bersepah dan handbag dia. Saya agak, mungkin anak bermain dan sepahkan alat solek isteri dan dompetnya.

Sedang syaa mengemas dompet isteri yang berterabur dengan kad-kad, saya belek hanya ada RM21 sahaja duit di dalamnya. Tiba-tiba saya terus tersedar, bagaimanapun isteri saya boleh bertahan sehingga gaji dia masuk 7 haribulan nanti? Saya kira-kira ada lagi dua minggu menunggu tempoh gaji seterusnya.

Terus saya tengok muka isteri yang tengah nyenyak tidur. Datang perasaan sebak itu secara tiba-tiba melihat wajah isteri yang terlalu baik dan tidak pernah merungut selama setahun saya mengabaikan nafkah zahir untuknya. Cepat-cepat saya naik ke atas katil dan peluk isteri sambil mencium wajahnya dengan seribu sesalan. Banyak sungguh dosa saya terhadap isteri.

Ketika saya susah dan tidak berduit, isterilah tempat saya meminta. Tetapi ketika saya ada duit, saya langsung tak ambil tahu tentang isteri dan anak. Saya tidak pernah bawa isteri dan anak makan di luar, beli barang dapur pun jauh sekali. Yang saya tahu, setiap hari balik kerja, isteri dah siap masak tanpa saya tanya barang dapur ada lagi ke tidak.

Isteri bangun dan terkejut, basuh mukanya dengan air mata saya, lalu bertanya kenapa saya menangis. Kelu lidah saya untuk menjawab soalannya. Apa yang saya tahu, saya sangat cintakan isteri pada ketika itu. Saya pegang tangan isteri, jangan katakan gelang emas, sebentuk cicin pun tak ada satu pun yang membaluti jari jemari isteri saya. Tetapi bila saya dapat bonus, saya habiskan dengan membeli gelang emas mak dan cincin emas adik.

Saya sungguh sedih pada ketika itu, langsung tak terkeluar kata-kata saya pada isteri. Saya peluk isteri dengan erat. Isteri menjadi semakin pelik dan banyak kali bertanya mengapa saya tiba-tiba menangis seperti budak kecil. Bila saya sudah reda dari menangis, barulah saya ceritakan satu persatu mengapa saya jadi begitu.

Isteri hanya mendiamkan diri, langsung tiada setitik air mata jatuh di pipunya. Saya melihat isteri senyum dan ajak saya sambung tidur. Berkali-kali saya memohon keampunan pada isteri tetapi dia hanya mendiamkan diri. Saya paksa isteri untuk bercakap tetapi dia masih diam. Tidak berapa lama kemudian, isteri dengan tenang meluahkan apa yang dia rasa selama ini.

“Selama ini, saya pernah bising pada abang tentang ke mana gaji abang. Tetapi abang kata untuk mak dan adik abang sahaja. Tiga bulan dah abang tak bagi nafkah, barang dapur, segala bil rumah yang perlu dijelaskan. Tetapi abang cakap nak berbakti pada mak dan adik abang, salah ke abang sebagai anak lelaki dalam keluarga berbakti kepada keluarga? Itu kata-kata abang masa saya tanya ke mana duit gaji abang.

“Sejak dari hari itu, saya sudah tidak mahu bertanya lagi. Saya rela mencari duit tepi dengan menjual produk, handbag di Facebook untuk menampung perbelanjaan harian kita. Kadang-kadang bila abang sudah kehabisan duit, abang minta pada saya. Sedangkan masa itu duit saya pun hanya cukup-cukup sahaja. Tetapi saya tidak pernah merungut sebab saya sayangkan abang.

“Satu hari saya tengok ada resit barang kemas. Abang belikan mak dan adik barang kemas tetapi abang langsung tak pernah belikan untuk saya. Jangan katakan barang kemas, ucapan selamat ulangtahun perkahwinan dan hari lahir saya pun abang tak pernah ucapkan. Tetapi bila untuk mak dan adik abang, abang langsung tak pernah lupa nak ucapkan.

“Maaf abang, saya ternampak dalam group WhatsApp keluarga abang, mak dan adik up gambar yang abang belikan mereka barang kemas. Semua ahli group (saudara mara) puji abang dan cakap abang anak yang terbaik. Tetapi dalam hati saya, sedih sangat.

“Saya tak halang abang berbakti kepada mereka tetapi abang sudah mengabaikan keperluan isteri abang ini juga. Saya takut nak bersuara, nanti abang kata saya seperti nak pisahkan abang dengan keluarga. Saya cuma memerhati dari jauh dan pendam dalam hati sahaja. Air mata ini sampai dah tak nak keluar bila mengenangkan apa yang sudah berlaku. Namun saya kuatkan hati dan bersabar dengan harapan abang akan tersedar suatu hari nanti.

“Saya tahu yang saya hanya menumpang kasih abang. Kita kahwin pun atas dasar abang bersimpat pada saya. Saya sudah tidak mampu lagi nak memendam segala kesakitan ini, abang. Saya juga mahu bahagia walaupun untuk seketika. Boleh tak abang lepaskan saya untuk saya mencari kebahagian itu sendiri?” itulah luahan isteri yang membuatkan hati saya hancur luluh.

Selepas mendengar luahan isteri, saya menangis semahu-mahunya. Saya tidak sanggup nak kehilangan isteri. Yang saya tahu, saya sangat cinta dan sayangkan isteri. Malam itu, hampir jam lima pagi barulah kami tidur. Saya peluk isteri, saya tahu isteri rimas tetapi saya tidak mahu kehilangan dia lagi. Sampaikan isteri nak bangun solat subuh pun saya ikut di belakang isteri dan solat bersama-sama walaupun ketika itu saya sangat mengantuk.

Keesokkannya, kami tidak pergi bekerja kerana masing-masing mengantuk. Selepas menghantar anak ke sekolah, seharian saya bersama dengan isteri di rumah. Setiap masa saya peluk isteri dan seperti tidak mahu dia pergi ke mana-mana. Saya tahu dia terluka dengan segala perbuatan saya selama ini, tetapi isteri saya berlagak seperti biasa sahaja dan melayani saya seperti tiada apa-apa yang berlaku.

Sehingga ke hari ini, saya masih buntu dan tidak tahu bagaimana mahu memujuk hati isteri supaya jangan meminta saya untuk melepaskan dia. Kalau saya pergi kerja pun, hati saya tetap teringat pada isteri. Nak tunggu jam 5 petang itu terasa sangat seksa sekali. Sungguh saya tak sabar nak berjumpa dengan isteri.

Apa yang patut saya lakukan untuk menawan semula hati isteri? Saya tidak mahu dan takut kehilangan dia. Saya sangat sayangkan isteri saya. Tolong bantu saya.

Sumber: Suami buntu, Kisah Rumah Tangga (KRT)

Loading...