“Apa ni, Isi Minyak Keluar Angin Je Lebih” – KPDNKK Dan MCM Dah Uji Pam Di Stesen Minyak, PETRONAS Tampil Beri Penjelasan


  - 6 Nov 17
  202 : 1
Loading...

Satu video tular berkenaan seorang wanita mendakwa pam minyak di stesen PETRONAS Simpang Pulai Arah Selatan tidak beroperasi dengan betul, meter di pam berjalan sedangkan minyak petrol tidak keluar dengan sukatan yang betul. Sehubungan dengan itu, PETRONAS tampil memberikan kenyataan balas berkenaan isu tersebut.

Dalam video berkenaan, seorang pelanggan wanita menuduh pam minyak berkenaan tidak mengeluarkan jumlah petrol yang tepat seperti yang dibayar. Dapat dilihat dalam video, pelanggan wanita itu cuba membuktikannya dengan memanggil seorang petugas di stesen tersebut menuang minyak petrol yang berjumlah RM 10 ke dalam baldi.

Menurut kenyataan PETRONAS Dagangan Berhad (PDB) dalam satu kenyataan balas dalam laman Facebook rasmi mereka, masalah teknikal yang dialami adalah berkaitan dengan kadar kelajuan aliran pam dan bukannya perbezaan dalam kuantiti minyak yang diisi, seperti yang didakwa.

Hasil dari ujian yang dijalankan oleh KPDNKK dan Metrology Corporation Malaysia Sdn.Bhd
(MCM), pam yang didakwa rosak di stesen PETRONAS Simpang Pulai Arah Selatan berkenaan disahkan tepat dan tidak ada percanggahan dalam kuantiti bahan bakar.

PDB telah mengambil tindakan segera dan kerja-kerja baik pulih telah dilaksanakan. Pam kini telah beroperasi seperti biasa. Mereka turut menegaskan bahawa semua pam di stesen PETRONAS sentiasa dikalibrasi dan gangguan teknikal ini merupakan kes terpencil yang tidak menjejaskan kuantiti isian sama sekali.

PDB berharap kenyataan balas daripada mereka dapat memperjelaskan isu ini dan memohon kerjasama semua untuk tidak terus mengedarkan informasi palsu ini.

Mereka turut mengalu-alukan maklum balas daripada pengguna dalam usaha untuk memperbaiki mutu perkhidmatan bagi memberikan pengalaman terbaik untuk para pelanggan di semua stesen PETRONAS.

Untuk sebarang aduan atau maklumat, pengguna boleh menghubungi ejen khidmat pelanggan mereka di talian hotline 1-300-88-8181 atau email [email protected]

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh layari laman web Mymesra.

Loading...