1969 Mercedes S-Klasse W108


  - 13 Feb 17
  274 : 1
Loading...

Masa zaman datuk nenek kita dulu, sudah wujud status sosial dalam masyarakat. Waktu tahun-tahun 60-an dan 70-an, kereta Jepun mana saja yang anda boleh jumpa kalau bukan Corolla dan Datsun? Dan barangsiapa yang ada kereta ketika itu pun, memang tinggilah statusnya. Waktu tu bas pun boleh bilang dengan jari.

Itu zaman dulu. Terbang ke zaman moden, bayangkan anda bawak Maybach atau Rolls Royce Phantom. Mesti rasa nak terajang je semua orang yang buat jem atas jalanraya.

Inilah orang panggil status sosial. Tapi yang saya nampak beza dengan zaman dulu, orang kaya sekarang agak kurang sifat norma seorang manusia. Dulu orang kaya boleh je turun tingkap lambai orang kampung kat kedai kopi, orang kaya sekarang ni jiran sebelah rumah pun dia tak cam muka.

Bayangkan sekali lagi, sebuah Mercedes S-Class di tahun 1970. Ya. Masa saya kecil dulu tak pernah pun tengok kereta ni. Mungkin di Kuala Lumpur je kot orang pakai. Ia dimiliki tokey balak, tokey kedai emas, tokey arang batu, tokey bijih timah dan orang-orang politik barangkali.

Walaupun dikenali dengan nama 280S, di kalangan peminat mesra Mercedes ia lebih popular dengan panggilan kod W108.

Saya memang minat sangat dengan kereta ni. Sebenarnya ada dua model Mercedes klasik yang memang saya berimpian (kalau mampu) nak beli; W108 dan W123 Wagon (230TE/200TE).

Orang lain mungkin suka Ponton dan Batman, tapi selera saya mungkin lain sikit. Saya suka kereta yang panjang, lebar dan besar. Bila direndahkan rapat ke tanah, rupanya macam Mafia di kepulauan Sicily.

W108 SUPER GOLD!

Ceritanya lebih menarik dengan W108 ini. Sebenarnya waktu dua tahun lepas, saya pernah nampak kereta ni diiklankan untuk dijual dalam laman facebook. Masa itu saya pun cuba hubungi pemiliknya.

Nak sangat dah beli masa tu, tapi apakan daya masa tu jugak tengah renovate rumah. Tau je lah kan, mula-mula nak buat sikit, akhirnya semua dinding rumah runtuh buat baru. Bila dinding dah runtuh, maka runtuh jugalah poket nak keluar belanja.

Hasrat memiliki W108 ni terpadam begitu sahaja. Pun begitu, saya masih berhubung dengan pemilik W108 ini bertanya khabar walaupun tak pernah jumpa. Sehinggalah ke hari penting Mercedes Mega Gathering yang dianjurkan di Port Dickson tahun lepas, saya akhirnya bertentang mata dengan kereta ni.

Cuba teka? Hati berdebar-debar macam jumpa kekasih lama!

Kereta ni memang cantik, secantik gambar dari whatsaapp yang dikirimkan. Jadi tanpa menunggu lama saya pun cuba cari pemiliknya. Alhamdulillah Jumpa.

Pemiiliknya bernama Aimy Abdullah, berasal dari Melaka dan seperti pemilik Mercedes olskool yang lain, beliau bukan ada satu, tapi TUJUH buah kereta Mercedes dari pelbagai model seperti W114 (adik S Class), W123 (2 buah), W201, W203 dan W204.

Jelas, W108 ni paling “king” dalam senarai tersebut. Justeru, tak hairanlah kalau banyak masa dan duit ditaburkan untuk menjadikan ia sebagus tahun 1969.

Ya tahun 1969, kereta ni siap boleh jalan keliling Malaysia lagi.

Kerja restorasi badan kereta tahun P-Ramlee ni, bukanlah semudah macam gosok Proton Waja. Ia perlukan kepakaran untuk buat semula lantai, buang karat, betulkan “pinggang” gandar belakang dan meratakan badannya sampai tak ada garis yang bengkang-bengkok.

Bukan kerja senang, tetapi kalau diberi pada tangan yang betul, dapat lihat betapa sempurnanya badan kereta ini dibaiki dan dilayangkan dengan warna emas metalik.

Enjin diesel kereta ni juga telah dibaik pulih dan lebih gembira lagi bila ianya sihat walafiat tanpa masalah besar. Aircond sedingin salju, idle tak bergegar, bateri saiz lori dan restorasi penuh untuk kereta berimej klasik. Jangan pandai-pandai nak modified sana sini, biarkan dalam spesifikasi kilang sebab itulah pilihan yang terbaik.

Bahagian dalaman dibina semula dengan membalut kerusi, panel pintu dan papan pemuka menggunakan kulit berwarna beige cerah. Kesan wear & tear dan garis-garis hitam tu menunjukkan kereta ini memang dipakai dan bukan disimpan dalam garaj.

Nampaknya Aimy memang menghargai apa yang dibuat. Kereta banyak, tapi pakai gilir-gilir supaya dapat menikmati penat lelah menjadikannya sebuah kereta yang sempurna.

Mungkin kereta ni tak selaju geng Evo. Ia juga tak eksklusif macam Vellfire G’S yang kami paparkan tak lama dulu. Tapi bagi seorang sudah memasuki era veteran atau lebih tepatnya warga emas seperti kami di mekanika, kereta ini ada lebih dari kelajuan dan kemewahan.

Kalau saya dapat ni, tanpa ragu-ragu lagi akan masuk BBS RS lebar 10.5 inci, lowered dan jalan perlahan sudah. Bawak pergi masjid, bawak anak bini jalan-jalan dan malam ajak kawan-kawan pusing bandar tanpa tujuan.

Buat muka riak sikit, sambil parking tepi Bukit Bintang, Jalan Maarof atau Hartamas. Rasanya orang lagi tengok W108 ni berbanding sebuah Ferrari 488 atau Range Rover Autobiography.

Loading...